FELDA Travel Jalin Kerjasama Dengan Elhajj Products

1 Suara 1-14 Mei 2015Kuala Lumpur – FELDA Travel Sdn Bhd, salah satu anak syarikat Kumpulan Felda baru-baru ini telah menandatangani perjanjian usahasama dengan ElHAJJ di sini. Dengan termeterainya jalinan usahasama ini, setiap jemaah umrah dan haji yang berdaftar dengan FELDA Travel Sdn Bhd akan dibekalkan set penjagaan mini ELHAJJ secara percuma.

Inisiatif ini merupakan salah satu platform bagi FELDA Travel dan Elhajj Products dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat selaras dengan komitmen dan misi syarikat untuk mempertingkatkan mutu khidmat pelanggan.

FELDA Travel telah memilih Elhajj Products Sdn Bhd sebagai rakan kerjasama sejak tahun 2012 kerana yakin set-set penjagaan kulit ELHAJJ berguna bagi para jemaah dan mampu menjadikan perjalanan ibadah mereka suatu pengalaman yang penuh bermakna.

Pengarah Urusan FELDA Travel Sdn Bhd, Nora Azmin Radzuan turut melahirkan keyakinan bahawa pemberian pek mini ELHAJJ dalam pekej kembara FELDA Travel ke Tanah Suci merupakan nilai tambahan yang diterima baik oleh jemaah kerana kesesuaian penggunaannya di Tanah Suci berbanding dengan produk lain di pasaran.

“Penglibatan ini adalah atas keprihatinan untuk membantu memberikan keselesaan kepada para jemaah yang berangkat ke Tanah Suci supaya dapat mengerjakan ibadah dengan selesa dan sempurna,” katanya.

Elhajj yang mempunyai pensijilan ISO merupakan rangkaian produk penjagaan kulit yang pertama yang disahkan Halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 2004. Ia Juga mendapat kelulusan dari Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan, Kementrian Kesihatan Malaysia serta diluluskan oleh Organisasi Standard Arab Saudi (SASO).

Muhammad Hamudi Abdul Khalid selaku Pengarah Urusan Elhajj Products Sdn Bhd berkata, “Penggunaan produk penjagaan kulit yang sesuai dan berlandaskan syariah seperti produk Elhajj dapat memberi keselesaan dan jaminan ketenangan jiwa dalam mengerjakan ibadah selain mengurangkan risiko kesihatan yang berkaitan dengan cuaca kering dan panas.

Produk Elhajj juga disaran dan disokong penuh oleh Lembaga Tabung Haji untuk kegunaan para jemaah semsaa menjalankan ibadah di sana. Kerjasama ini membuktikan kedua-dua organisasi ini berkongsi matlamat sama demi menjamin kesejahteraaan jemaah.

Oleh: Azlan Jusoh / 1 suara / 01 Mei – 14 Mei 2015