Elhajj Rakan Ibadah Haji dan Umrah

Sinar Harian 11 May 2015 (Isnin)Menyedari salah satu larangan sewaktu mengerjakan haji ialah memakai wangi – wangian semasa berihram, sebuah syarikat Bumiputera Elhajj Products Sdn Bhd (Elhajj Products) mengambil langkah mengeluarkan produk penjagaan kulit yang menepati kehendak atau syarat ketika bergelar jemaah haji dan umrah.

Pengarah Urusan Elhajj Products, Muhammad Hamudi Abdul Khalid berkata ketika itu, hampir ke semua produk penjagaan kulit di pasaran tidak memenuhi keperluan yang ditetapkan.

“Jadi kami mengambil keputusan untuk mengeluarkan sesuatu yang tidak pernah ada dalam pasaran iaitu rangkaian produk penjagaan kulit yang halal serta khas kepda jemaah haji dan umrah.”

“Produk kami berasaskan air bagi mudah dibersihkan ketika berwuduk mengandungi kandungan pelembap yang tinggi, Vitamin E dan Pro Vitamin B5, herba terpilih dan tanpa sebarang jenis pewangi mahupun pewarna yang menggunakan bahan kimia melampau,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur.”

Bergerak dengan moto, “Tenangkan Jiwa Dalam Ibadah” Muhammad Hamudi berkata, penggunaan produk penjagaan kulit yang sesuai dan berlandaskan syariah dapat memberi keselesaan dan jaminan ketenangan jiwa dalam mengerjakan ibadah selain mengurangkan risiko kesihatan berkaitan cuaca kering dan panas.

Rangkaian produk penjagaan kulit Elhajj terdiri daripada Sabun Badan Antibakteria Elhajj, Pelembap Bibir Elhajj, Krim Tumit Elhajj, Pencuci Muka Berpelembap Elhajj, Pelembap Muka Elhajj, Skrub Muka Elhajj, Krim Muka UV SPF15 Elhajj, Krim Haji (Pelembap Tangan dan Badan) Elhajj, dan set pek kembara yang dijual pada harga berpatutan.

Elhajj yang mempunyai pensijilan ISO merupakan rangkaian produk penjagaan kulit pertama disahkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 2004. Ia juga mendapat kelulusan dari Biro Farmaseutikal Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia serta diluluskan Organisasi Standard Arab Saudi (SASO).

Pasaran lebih kepada jemaah haji

Bercerita mengenai cabaran lebih sedekad dalam mengusahakan perniagaan produk penjagaan kulit, Muhammad Hamudi mengakui pada awalnya pasaran produk Elhajj agak terbatas kerana ianya disasarkan kepada para jemaah haji dan umrah sahaja.

“Namun, Alhamdulillah mereeka yang pernah menggunakan produk ini ketika musim haji atau umrah, akhirnya menjadi pengguna setia. Kini, kami sudah ada pelanggan tetap yang bukan menggunakan rangkaian produk Elhajj semata -mata untuk menunaikan haji atau umrah tetapi telah menjadikannya sebagai produk untuk kegunaan harian”.

“Sehingga hari ini sebanyak 60 peratus produk Elhajj adalah untuk kegunaan jemaah haji dan umrah manakala 40 peratus lagi adalah untuk pelanggan yang menggunakannya bagi kegunaan harian”, katanya.

Menurut Muhammad Hamudi di awal perniagaan menjual terus produknya kepada para jemaah haji dan umrah memandangkan ia masih baru dan belum mendapat tempat di pasaran.

“Namun semua produk Elhajj boleh didapati di kedai – kedai menjual peralatan ibadah seluruh negara dan juga pasar raya terpilih seperti Tesco dan Aeon Big serta atas talian (online).”

“Selain berada di pasaran tempatan produk Elhajj juga berjaya menembusi pasaran luar negara seperti Singapura, United Kingdom, Jerman, Maldives dan Australia,” Katanya.

Ditanya mengenai harga produk Elhajj, Muhammad Hamudi berkata harga yang ditawarkannya adalah berpatutan dan tidak membebankan jemaah haji membelinya.

“Kami menitik beratkan harga yang ditawarkan dengan mengurangkan kos seoptimum boleh di dapati serendah RM 10 ke RM 25 sahaja,” katanya.

Beri tumpuan kepada reka bentuk pembungkusan

Reka bentuk pembungkusan memainkan peranan penting dalam memudahkan pelanggan agar betul – betul memahami produk yang dikeluarkan selain mampu menarik minat membeli.

Menurut Muhammad Hamudi kesilapan dalam rekaan bentuk produk pertamanya iaitu Krim Badan dan Tangan Elhajj menyebabkan beliau terpaksa mereka semula pembungkusan untuk produk tersebut.

“Reka bentuk produk amat penting dan kita tidak boleh berkira dalam membelanjakan sedikit wang untuk berjumpa dengan mana – mana pereka yang mampu memenuhi permintaan kita.

“Saya sendiri selepas kesilapan pertama terus mengupah seorang pereka untuk mereka pembungkusan produk saya yang menggambarkan identiti korporat Elhajj Products mengikut warna dan rekaan yang diinginkan,” katanya.

Muhammad Hamudi turut menasihati usahawan baru dan sedia ada di luar sana supaya memberi penekanan kepada rekaan produk mereka supaya ia mampu menarik pelanggan dan memudahkan mereka memahaminya.

“Jangan pernah takut untuk membelanjakan sedikit wang dalam perkara ini dan carilah seorang pereka yang boleh membuat produk anda dikenali dan mendapat tempat di hati pengguna kerana itu adalah satu pelaburan yang pasti akan memberi hasil,” katanya.

Kesilapan pengajaran terbaik untuk berjaya

Dunia perniagaan bukanlah sesuatu yang mudah jika kita tidak cukup arif mengenai selok – beloknya dan tiada sokongan yang kuat dari ahli keluarga.

Demikian antara luahan Muhammad Hamudi ketika ditanya mengenai pengalaman beliau memastikan Elhajj Products terus kekal lebih sedekad dalam berkhidmat untuk keselesaan jemaah haji dan umrah.

“Apabila berniaga, kita tidak akan dapat lari daripada melakukan kesilapan, itu lumrah. Kesilapan merupakan guru paling hebat dalam mengajar saya untuk terus mencuba dan berjaya.”

Di awal perniagaan bukan mudah terutamanya apabila kita mengeluarkan produk yang tidak pernah ada dipasaran dan segmennya belum wujud lagi ketika itu,” katanya.

Katanya, perkara yang tidak akan dilupakan ialah tempoh lapan ke sembilan bulan pertama sebelum mengeluarkan produk pertama di amana dia hanya dapat mengambil cuti sehari sahaja iaitu ketika hari raya pertama Hari Raya Aidilfitri.

Muhammad Hamudi juga turut menegaskan bahawa halal bukan sahaja melangkaui soal mendapat kelulusan daripada pihak bertanggungjawab atau sekadar sijil semata-mata tetapi turut merangkumi aspek penggunaan bahan-bahan dan cara bagaimana perniagaan diuruskan atau beroperasi.

“Bila sebut halal kita harus tahu bukan hanya produk sahaja halal, tetapi proses keseluruhannya juga perlu dijaga termasuk bahan-bahan yang digunakan perlu dijaga dan gaji pekerja perlu dipastikan berjalan serta dibayar.

Menurut Muhammad Hamudi walaupun syarikatnya sudah lebih sedekad berkhidmat kepada jemaah haji, syarikatnya masih lagi menghadapi pelbagai cabaran.

“Sebagai usahawan, kita perlu memberi tumpuan kepada aktiviti perniagaan kita dengan bercakap dengan pelanggan, dapatkan maklum balas daripada mereka dan lihat apa yang mereka yang diingankan mereka.”

“Selain itu, sebagai orang Islam kita tidak boleh lupa akan tanggungjawab kita kepada masyarakat dan mereka yang memerlukan. Jangan pernah lupa untuk memberi sumbangan kepada mereka,” katanya.

Oleh: Mohamad Hafizi Mohd Said / SINAR HARIAN / 11 Mei 2015