ELHAJJ PRODUCTS SINERGI STRATEGI UNTUK TINGKATKAN PRESTASI (DEWAN EKONOMI / SEP15)

Dewan Ekonomi CoverKini semakin banyak umat Islam di negara ini yang mengambil serius tentang aspek halal, bukan sahaja bagi makanan dan minuman, bahkan turut melibatkan produk kecantikan serta produk kewangan yang patuh syariah. Jika sebelum ini, yang paling menjadi tumpuan ialah produk yang berkaitan dengan makanan dan minuman. Namun demikian, kini banyak pihak menyedari dan memahami konsep sebenar halalan toyyiban, sekaligus semakin prihatin dan mempraktikalkannya dari segala aspek kehidupan. Antara perkara yang dipandang serius oleh masyarakat Islam adalah ketika menunaikan fardu haji dan umrah. Terdapat larangan tertentu yang perlu dipatuhi semasa mengerjakan ibadah tersebut, antaranya termasuklah memakai wangian semasa berihram. Oleh itu, jemaah haji atau umrah yang menggunakan produk penjagaan kesihatan, seperti produk penjagaan kulit, perlu memastikan mereka menggunakan produk yang halal serta menepati spesifikasi yang ditetapkan semasa beribadah di Tanah Suci.

     Berdasarkan hasil analisis, permintaan untuk produk perlindungan kulit sememangnya tinggi daripada kalangan jemaah yang menunaikan ibadah di Tanah Suci memandangkan cuaca panas dan kering di Arab Saudi. Kegusaran jemaah haji dan umrah yang mengalami masalah kulit ketika berada di Makkah khususnya timbul apabila mereka terdedah kepada penggunaan produk penjagaan kulit yang tidak sesuai ketika beribadah dan berada dalam ihram.

     Bertitik tolak daripada itulah, mendorong Muhammad Hamudi Abdul Khalid, Pengarah Urusan Elhajj Products Sdn Bhd, mengambil keputusann untuk memasuki pasaran pengeluaran produk halal yang bermutu tinggi bagi memenuhi kehendak pasaran, khususnya untuk jemaah haji dan umrah. Menurut beliau, pada ketika itu hampir semua produk penjagaan kulit yang ada dalam pasaran tidak memenuhi keperluan yang ditetapkan.

“Kami mengambil keputusan untuk mengeluarkan produk yang tidak pernah berada dalam pasaran, iaitu rangkaian produk penjagaan kulit halal serta khas untuk jemaah haji dan umrah,” tegas Muhammad Hamudi ketika ditemui oleh sidang editor Dewan Ekonomi, di ibu pejabat Elhajj Products Sdn Bhd.

     Pengeluar rangkaian produk penjagaan kulit, khusus untuk para jemaah haji dan umrah ini, percaya akan potensi jualan yang semakin memberangsangkan semenjak tahun 2002. Produk keluaran Elhajj mengambil pelbagai aspek halal agar pengguna dapat menjalankan ibadah haji dan umrah dengan tenang.

     Beliau Menegaskan bahawa betapa pentingnya penggunaan produk penjagaan kulit ketika berada di Tanah Suci untuk mengurangkan risiko kesihatan akibat cuaca kering dan panas.

     Menurut Muhammad Hamudi lagi, menunaikan ibadah haji dan umrah merupakan kemuncak ibadah bagi setiap umat Islam di seluruh dunia. Namun demikian, perbezaan cuaca yang amat ketara antara Arab Saudi dengan negara di Asia Tenggara boleh menggangu keselesaan jemaah bagi menjalani ibadah tersebut. Keadaan cuaca yang panas dan kering boleh menyebabkan sel kulit menjadi lemah. Akibatnya, kulit akan merekah, bersisik, merengsa dan mungkin menjadi gatal. Jika dibiarkan gangguan kesihatan sebegini berterusan, hal ini akan menggangu tumpuan, khusyuk dan kelancaran jemaah ketika menjalani ibadah.

“Kami tidak mahu apabila jemaah sampai di Tanah Suci, ibadah hajinya terganggu dengan masalah kesihatan, seperti mengalami masalah bibir kering, merekah dan sebagainya, begitu juga masalah tumit kaki kering yang boleh menyebabkan kekeringan dan merekah. Sedangkan masalah sebegini boleh dan mudah diatasi dengan penggunaan barangan penjagaan kulit yang sesuai”

Muhammad Hamudi Abdul Khalid, Pengarah Urusan Elhajj Products Sdn Bhd

     Pic 4Tambah beliau, produk Elhajj yang dihasilkan berasaskan air mudah untuk dibersihkan ketika berwuduk. Produk ini mengandungi kandungan pelembap yang tinggi, selain mengandungi vitamin E dan Pro vitamin B5, herba terpilih dan tanpa sebarang jenis pewangi, mahupun pewarna yang menggunakan bahan kimia terlampau. Produk Elhajj bukan sahaja halal dan Suci tetapi keseluruhannnya, iaitu daripada proses pembuatan hinggalah sumber kewangannya, dipastikan halal. Menurut Muhammad Hamudi, beliau tidak memandang perniagaan ini untuk meraih keuntungan semata-mata, sebaiknya turut melihatnya sebagai tuntutan ibadah.

     Semua rangkaian produk penjagaan kulit Elhajj Terdiri daripada Sabun Badan Antibakteria Elhajj, Pelembap Bibir Elhajj, Krim Tumit Elhajj, Pencuci Muka Berpelembap Elhajj, Skrub Muka Elhajj, Krim Muka UV SPF15 Elhajj, Krim Haji (Pelembap Tangan dan Badan) Elhajj, dan set pek kembara, yang dijual pada harga yang berpatutan, selain sesuai untuk semua golongan.

” Apa yang penting bagi kami di Elhajj, produk yang dihasilkan adalah untuk penggunaan para jemaah supaya dapat menjalankan ibadah dengan tenang, tanpa rasa ragu-ragu, dan tanpa mengalami gangguan kesihatan.”

      Selain Itu, bergerak dengan slogan dan prinsip “Tenangkan Jiwa dalam Beribadah”, penggunaan produk penjagaan kulit yang sesuai dan berlandaskan syariah dapat memberikan keselesaan dan jaminan ketenangan jiwa semasa jemaah mengerjakan ibadah. Sejak mengusahakan syarikat ini lebih sedekad dahulu, produk Elhajj telah diterima masyarakat dan sehingga kini sambutan terhadapnya amat menggalakkan. Produk ini mendapat sokongan penuh daripada Lembaga Tabung Haji Malaysia untuk kegunaan para jemaah menjalankan ibadah haji dan umrah.

“Untuk makluman, Elhajj mempunyai pensijilan ISO dan merupakan rangkaian penjagaan kulit pertama yang disahkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada tahun 2004. Produk Elhajj juga mendapat kelulusan daripada Biro Farmaseutikal Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia serta diluluskan oleh Organisasi Standard Arab Saudi (SASO), untuk kegunaan para jemaah haji dan umrah di Tanah Suci,” jelas Muhammad Hamudi.

       Apabila bercerita tentang cabaran yang diharungi oleh syarikat ini lebih sedekad lalu bagi mengusahakan perniagaan produk penjagaan kulit ini, Muhammad Hamudi mengakui bahawa pada awalnya pasaran produk Elhajj agak terbatas kerana lebih disasarkan kepada para jemaah haji dan umrah sahaja. Walaubagaimanapun, menurut beliau, bagi mereka yang pernah menggunakan produk ini ketika musim haji atau umrah, akhirnya mereka menjadi pengguna setia produk Elhajj.

“Kini Elhajj sudah mempunyai pelanggan tetap yang tidak menggunakan rangkaian produk Elhajj semata-mata untuk menunaikan haji atau umrah, bahkan menjadikannya sebagai produk untuk kegunaan harian.”

Muhammad Hamudi Abdul Khalid, Pengarah Urusan Elhajj Products Sdn Bhd

“Sehingga hari ini, sebanyak 60 peratus produk Elhajj adalah untuk kegunaan jemaah haji dan umrah, manakala 40 peratus lagi adalah untuk pelanggan yang menggunakannya sebagai produk penjagaan kulit harian.”

     Pic 2Menurut Muhammad Hamudi, pada awal perniagaan mereka menjalankan konsep penjualan terus produknya kepada para jemaah haji dan umrah, memandangkan syarikat ini masih baharu dan belum mendapat tempat dalam pasaran. Namun demikian, pada hari ini, semua produk Elhajj dapat dibeli di kedai yang menyediakan kelengkapan untuk menunaikan ibadah haji dan umrah di seluruh negara, selain dijual di pasaraya terpilih, seperti di Tesco, Aeon Big, serta dapat dibeli secara dalam talian. Dalam pada itu, harga yang ditawarkannya adalah berpatutan dan tidak membebankan jemaah haji dan umrah untuk membelinya.

   Mengulas lanjut mengenai strategi yang diambil oleh syarikatnya untuk memperkenalkan produk Elhajj dalam pasaran tempatan, Muhammad Hamudi menjelaskan bahawa syarikatnya mula memperkenalkan produk mereka kepada jemaah haji menerusi Kursus Haji Perdana yang dijalankan di seluruh negara oleh Lembaga Tabung Haji. Ternyata strategi tersebut berkesan dan produknya mendapat sambutan yang menggalakkan daripada jemaah haji kerana produk Elhajj satu-satunya produk yang dijamin halal dan sesuai digunakan ketika beribadah.

 “Pada ketika itu, kami turun padang untuk berjumpa dengan pelanggan secara langusung dan memberikan penerangan kepada mereka mengenai kelebihan produk Elhajj, berbanding dengan produk penjagaan kulit yang ada dalam pasaran.”

        Muhammad Hamudi menjelaskan bahawa syarikat beliau turut mendapat permintaan daripada pelanggan supaya mempelbagaikan jenis produk penjagaan kulit yang halal. Permintaan ini bukan sahaja untuk pasaran tempatan, malah untuk pasaran antarabangsa juga.

“Selain dipasarkan untuk pasaran tempatan, produk Elhajj juga berjaya menembusi pasaran luar negara, seperti Singapura, United Kingdom, Jerman, Maldives dan Australia,” jelas Muhammad Hamudi.

       Dalam perniagaan seperti ini, reka bentuk pembungkusan memainkan peranan yang signifikan bagi memudahkan pelanggan untuk memahami produk yang dikeluarkan, selain mampu menarik minat mereka agar membelinya. Menurut Muhammad Hamudi, kesilapan dalam rekaan bentuk produk pertamanya, iaitu Krim Badan dan Tangan Elhajj, menyebabkan beliau terpaksa mereka semula pembungkusan untuk produk tersebut.

“Saya banyak belajar daripada kesilapan. Sebagai seorang yang tidak mempunyai latar belakang untuk mengendalikan perniagaan, saya banyak belajar daripada pengalaman, iaitu daripada ‘kosong’ sehingga berada pada tahap hari ini. Salah satu perkara yang memainkan peranan dalam perniagaan ialah reka bentuk pembungkusan produk. Hal ini sangat penting dan kita tidak boleh berkira untuk membelanjakan sedikit wang dengan menggunakan perkhidmatan pereka yang arif dan mampu memenuhi permintaan syarikat,” jelas Muhammad Hamudi.

     Tambah beliau lagi, selepas membuat kesilapan pertama semasa masih bertapak, syarikat ini terus mengupah pereka untuk mereka bentuk pembungkusan produk Elhajj yang menggambarkan identiti korporat “Elhajj Products” dengan mengikut warna dan rekaan yang diinginkan.

     Muhammad Hamudi turut menasihati usahawan baharu dan sedia ada supaya memberikan penekanan terhadap aspek rekaan atau pembungkusan produk mereka supaya produk tersebut mampu menarik perhatian pelanggan dan memudahkan mereka memahaminya.

“Jangan pernah takut untuk membelanjakan sedikit wang dalam perkara ini dan dapatkanlah khidmat pereka yang berupaya membuat produk anda dikenali dan mendapat tempat di hati pengguna kerana hal ini merupakan pelaburan yang pasti akan memberikan hasilnya,” tegas Hamudi.

“Dunia perniagaan bukanlah sesuatu yang mudah bagi mereka yang tidak cukup arif mengenai selok-beloknya, apatah lagi sekiranya tiada sokongan yang kuat daripada ahli keluarga dan orang terdekat  yang ada di sekeliling kita,” luah Muhammad Hamudi ketika ditanya mengenai pengalaman beliau bagi memastikan Elhajj Products terus kekal lebih sedekad dalam industri yang berdaya saing ini.

   Untuk mengejar impian bagi mempunyai perniagaan sendiri, telah mendorong Muhammad Hamudi melepaskan jawatan tinggi di Pulau Pinang, kira-kira 15 tahun yang lalu, kerana berasa bosan dengan rutin harian kerjaya pada ketika itu. Beliau yang memiliki Diploma Teknologi Tekstil daripada Institut Teknologi Mara (kini Unversiti Teknologi MARA) dan Ijazah Muda Sains Teknologi Tekstil daripada Universiti Philadephia, Amerika Syarikat, nekad untuk meneroka bidang yang lebih mencabar.

       Dalam usia yang muda, tokoh korporat yang berasal dari Pulau Pinang ini nekad untuk berhenti kerja dan mula mencari kerja lain yang membolehkannya menimba pengalaman yang mencukupi bagi membuka perniagaan sendiri. Menurut Muhammad Hamudi, pelbagai jenis pekerjaan yang telah diterokainya, antaranya termasuklah bekerja di bahagian pentadbiran di sebuah kolej swasta dan menjadi pegawai jualan kereta di salah sebuah syarikat terkemuka negara ini, sebelum beliau nekad membuka perniagaan sendiri.

     Sesudah puas dengan pengalaman yang diperoleh dari aspek jualan dan pemasaran, beliau mula membabitkan diri dalam dalam perniagaan.

“Walaupun menemukan kegagalan dalam beberapa bidang perniagaan yang diceburi pada peringkat awal pembabitannya, beliau tetap tabah menerima cabaran dan menganggapnya sebagai proses pembelajaran yang perlu ditempuhinya untuk menjalankan perniagaan sendiri.”

     Berkat kesabaran dan ketabahannya, Muhammad Hamudi yang kini berusia 44 tahun, akhirnya berhasil menemukan perniagaan yang diyakini mampu berkembang dan berdaya maju, untuk membantu pembangunan ekonomi negara. Selain itu, beliau mendapati bahawa wujud peluang yang besar bagi membangunkan produk penjagaan kulit, memandangkan tiadanya produk seumpama itu dalam pasaran pada ketika itu. Tambah beliau, kebanyakkan produk penjagaan kulit yang terdapat dalam pasaran tidak menepati kehendak atau syarat sepanjang jemaah mengerjakan ibadah haji dan umrah.

     Dengan menyedari hal itu, Muhammad Hamudi mula menjalankan penyelidikan untuk menghasilkan krim badan yang sesuai bagi kegunaan jemaah dan yang lebih penting, menepati syarat larangan sepanjang jemaah berihram. Semasa menjalankan penyelidikan, beliau mendapat bantuan daripada pertubuhan penyelidikan dan teknologi terkemuka negara iaitu SIRIM, untuk membangunkan produk Elhajj.

     Pada awal perniagaan bukanlah menjadi suatu perkara yang mudah menurut tokoh perniagaan ini, terutamanya apabila hendak mengeluarkan produk yang tidak pernah ada dalam pasaran dan segmennya belum wujud lagi pada ketika itu. Beliau menegaskan bahawa aspek halal bukan sahaja yang berkaitan dengan soal mendapat kelulusan daripada pihak bertanggungjawab atau sekadar sijil semata-mata, tetapi turut merangkumi aspek penggunaan bahan dan kaedah perniagaan diurus atau beroperasi.

     Jelas Muhammad Hamudi lagi, menerusi pembiayaan berlandaskan syariah daripada Pembangunan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), iaitu sebanyak RM250 ribu, membolehkan syarikatnya mengembangkan perniagaan dan mempelbagaikan produk yang ditawarkan.

“Kami amat berterima kasih kepada PUNB kerana memberikan pembiayaan serta khidmat nasihat kepada kami untuk mengembangkan perniagaan. Pembiayaan daripada PUNB ini digunakan untuk pembangunan produk baharu keluaran Elhajj,” jelas beliau.

     Walaupun sudah menembusi pasaran antarabangsa di beberapa buah negara, syarikatnya juga bercadang untuk memperluas produknya ke pasaran Afrika dan Kazakstan, dan sedang dalam perundingan untuk mengeksport produk Elhajj di kedua-dua buah negara tersebut. Selain mengembangkannya ke pasaran antarabangsa, Elhajj juga aktif mengambil bahagian dalam tanggungjawab sosial korporat dan menjalankan sinergi dengan beberapa buah syarikat agensi kembara, khususnya yang menjalankan pakej untuk melakukan ibadah haji dan umrah.

     Baru-baru ini, Felda Travel Sdn. Bhd., salah sebuah anak syarikat Kumpulan Felda, telah menandatangani perjanjian usahasama dengan syarikat Elhajj Products. Dengan termeterainya jalinan usahasama ini, setiap jemaah umrah dan haji yang berdaftar dengan Felda Travel Sdn. Bhd. akan dibekalkan dengan Set Penjagaan Mini Elhajj secara percuma.

     Inisiatif ini merupakan salah satu platform bagi Felda Travel Sdn. Bhd. dan Elhajj Products untuk melaksanakan tanggungjawab sosial korporat selaras dengan komitmen dan misi syarikat bagi meningkatkan mutu khidmat pelanggan.

“Felda Travel Sdn. Bhd. memilih produk keluaran Elhajj sebagai rakan kerjasama sejak tahun 2012 kerana yakin akan set penjagaan kulit Elhajj yang bermanfaat untuk para jemaah dan mampu menjadikan perjalanan ibadah mereka suatu pengalaman yang penuh bermakna.

Muhammad Hamudi Abdul Khalid, Pengarah Urusan Elhajj Products Sdn Bhd

“Pelibatan ini mencerminkan keperihatinan syarikat untuk membantu memberikan keselesaan kepada para jemaah berangkat ke Tanah Suci supaya dapat mengerjakan ibadah dengan selesa dan sempurna.”

      Pic 1Tambah Muhammad Hamudi lagi, penggunaan produk penjagaan kulit yang sesuai dan berlandaskan syariah, seperti produk Elhajj, dapat memenuhi tuntutan yang disyariatkan dalam Islam, disamping memberikan jaminan untuk mengurangkan risiko kesihatan yang berkaitan dengan cuaca kering dan panas.

     Selain itu, produk Elhajj juga disarankan dan disokong penuh oleh Lembaga Tabung Haji untuk kegunaan para jemaah semasa menjalankan ibadah di sana. Kerjasama ini membuktikan kedua-dua buah organisasi ini berkongsi matlamat yang sama demi menjamin kesejahteraan jemaah.

“Sebagai sebuah syarikat, Elhajj Products Sdn Bhd perlu memberikan tumpuan kepada aktiviti perniagaan sama ada secara langsung mahupun tidak langsung dengan pelanggan. Perlu adanya interaksi dengan pelanggan, dapatkan maklumbalas daripada mereka dan cuba melihat apa-apa yang diinginkan oleh mereka.

     Menurut Muhammad Hamudi, sebagai orang Islam, kita sama sekali tidak boleh lupa akan tanggungjawab kepada masyarakat, Jangan pernah lupa untuk memberikan sumbangan kepada mereka yang memerlukannya. Sebelum mengakhiri sesi wawancara, beliau menasihati individu agar berjinak-jinak dalam dunia perniagaan agar tidak berputus asa untuk mengejar impian yang diidamkan. Yang paling penting, tanamkan niat yang suci serta mencari keberkatan ilahi bagi menjalankan perniagaan secara halal supaya perjalanan perniagaan sentiasa dirahmati, sekaligus dapat membantu negara memacu pertumbuhan ekonomi.

Oleh: Shamsiah Abd. Kadir / DEWAN EKONOMI / Issue: September 2015